KEHARUSAN POLIGAMI DAN HIKMAHNYA
"Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): Dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki." [Maksud Firman Allah Taala Surah An-Nisa':3]

Wednesday, September 9, 2015

KELEBIHAN SOLAT FARDHU DAN SURAH AL-IKHLAS










Riwayat: al-Bukhari dan Muslim




Hadith:
Daripada Abu Hurairah RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Katanya, andai kata pada pintu seseorang di antara kamu ada sebuah sungai dan ia mandi disitu sebanyak lima kali dalam sehari, apakah masih ada kekotoran yang masih tertinggal dibadannya?” para sahabat menjawab, tidak ada kekotoran sedikit pun yang tertinggal dibadannya. Baginda bersabda, “Demikianlah bandingan sembahyang lima waktu, dengan mengerjakan semua itu Allah akan menghapuskan semua dosanya dan kesalahan”.

(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith:

Kelebihan Solat lima waktu dan kelebihan memeliharanya.

  1. Sembahyang fardhu merupakan tiang agama yang diwajibkan kepada setiap umat Islam yang telah cukup syarat-syaratnya.
  2. Orang yang mengerjakan sembahyang fardhu dengan sempurna meliputi rukun dan sunatnya akan diampunkan dosa-dosa kecil sedangkan dosa-dosa besar tidak terhapus melainkan dengan bertaubat.
  3. Uslub Nabi SAW menarik minat dan terangsang untuk melakukan taat dengancara berdialog dan perumpamaan.

Kelebihan Membaca Surah al-Ikhlas


Hadith:

Daripada Anas RA bahawa seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku sangat suka kepada surah ini, “(al-ikhlas)” lalu Baginda pun bersabda,”Sesungguhnya kesukaanmu pada surah ini akan memasukkan engkau ke dalam syurga”.

Dan al-Bukhari juga ada meriwayatkan dalam kitab sahih sebagai taklik.

Huraian Hadith:

  1. Al-Qur’an al-Karim mengandungi semua cabang Islam dan iman iaitu aqidah, syariah, dan akhlak sedangkan ilmu tauhid itu meliputi di dalam surah al-ikhlas.
  2. Orang yang membaca surah al-ikhlas akan mendapat pahala yang sangat besar bersamaan dengan membaca sepuluh juzu’ daripada keseluruhan al-Qur’an.

...LAGI MAU LIHAT>>>KLIK JE KAT SINI..APA SUSAH

Friday, September 4, 2015

KELEBIHAN SUJUD DALAM SOLAT










Riwayat: Muslim


Kategori: Ibadah


Hadith:


Daripada Abu Abdullah yang dikenali juga dengan Abdul Rahman Thauban RA hamba Rasulullah SAW katanya, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ”Perbanyakkanlah sujud sesungguhnya sekali-kali tidaklah engkau sujud kerana Allah satu sujud pun kecuali Allah mengangkat dengannya satu darjat, dan hapuskan dengannya satu dosa."

Huraian Hadith:


  1. Dimaksudkan sujud dalam hadith ini adalah sembahyang, disebut sujud kerana sujud adalah rukun yang terpenting.
  2. Sembahyang sunat dan ibadat umumnya meningkatkan darjat seseorang dan menggugurkan kejahatannya.
  3. Setiap muslim hendaklah sentiasa menjaga sembahyangnya terutamanya sembahyang fardhu.
...LAGI MAU LIHAT>>>KLIK JE KAT SINI..APA SUSAH

Thursday, August 27, 2015

AL-QURAN SEBAGAI PEMBERI SYAFAAT DI HARI AKHIRAT

Riwayat: Riwayat Muslim

Kategori: Ibadah

Hadith:

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.

Huraian Hadith:

Al-Quran merupakan kalam Allah SWT dan perlembagaan syariatnya yang kekal abadi. Allah SWT telah menurunkannya kepada manusia sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan agar dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang boleh menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah SWT. Pahalanya amat besar iaitu sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya. Selain itu ia juga boleh memberikan syafaat di hari akhirat kelak.

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : Perumpamaan Mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau yang mempunyai bau yang harum dan rasanya sedap. Manakala perumpamaan mukmin yang tidak membaca al-Quran pula adalah seperti tamar yang tidak ada bau tetapi rasanya manis dan sedap.

Membaca al-Quran hendaklah dilakukan dengan beradab sebagai menghormati kalimah Allah SWT di antaranya ialah seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan suci (berwudhu') dan membacanya di tempat yang bersih, memulakan dengan membaca Ta'auwuz dan Basmallah, membaca dengan teliti dan perlahan, menjaga makhraj (bertajwid) serta memperelokkan suara sekadar termampu.

Pembacaan al-Quran yang paling baik ialah apabila difahami apa yang dibaca. Dengan ini barulah seseorang itu akan dapat merasai nikmatnya yang sebenar.
...LAGI MAU LIHAT>>>KLIK JE KAT SINI..APA SUSAH

Wednesday, August 26, 2015

BERMANIS MUKA KETIKA BERTEMU

Riwayat: Muslim


Hadith:

Daripada Abu Dzar RA katanya, Rasulullah SAW bersabda kepadaku, “Janganlah engkau anggap remeh apa-apa amalan yang baik walaupun kebaikan itu dengan sekadar menunjukkan muka yang manis semasa bertemu dengan saudaramu.”
(Hadith Riwayat Muslim)


Huraian Hadith:


Islam itu mengambil berat tentang hal kebaikan, walau sekecil mana amalan kebajikan dilakukan pasti akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Umat Islam dilarang memandang enteng perkara-perkara kebajikan walaupun sekadar senyum semasa bertemu dengan kawan-kawan dan saudara-saudara seagama, kerana senyuman itu juga akan mendapat balasan pahala.

Senyuman boleh menumbuhkan rasa cinta dan sayang antara yang bersaudara dan sesama manusia.

Sumber : Kitab Riyadhus Salihin
...LAGI MAU LIHAT>>>KLIK JE KAT SINI..APA SUSAH

Thursday, May 21, 2015

ISTIMEWANYA MADINAH


Riwayat: (Bukhari dan Muslim)

Kategori: Ibadah

Hadith:

Rasulullah pernah berdoa yang maksudnya:Ya Allah, berikanlah kecintaan kami kepada Madinah sebagaimana Engkau berikan kecintaan kepada Makkah, atau lebih dari itu dan bersihkanlah ia serta berkatilah kepada kami dalam makanan dan bekalnya dan gantikan wabak penyakitnya dengan juhfah.

Huraian Hadith:

Rasulullah SAW telah berhijrah ke Madinah dan menjadikannya sebagai medan dakwah dan seterusnya sebagai Tanah Suci kedua selepas Tanah Suci Makkah al-Mukarramah. Ia kaya dengan sejarah-sejarah yang jelas terkandung di dalam Al-Quran. Sebelum Rasululullah SAW memasuki Madinah, ia merupakan sebuah negeri tempat bersarangnya penyakit.

Antara kelebihan dan keistimewaan Madinah ialah:

 1.Bumi Yang Subur Dan Makmur- Bumi Madinah mengeluarkan tamar Ajwah yang mempunyai khasiat lebih daripada khasiat yang terdapat pada tamar-tamar lain. Rasulullah SAW pernah bersabda: Sesiapa yang di waktu pagi makan 7 biji kurma Ajwah, pada hari itu dia tidak akan terkena racun mahupun sihir.

 2. Masjid Nabawi- Ia terletak di tengah-tengah kota Madinah. Asalnya ia merupakan tapak pusat pengeringan tamar dan kebun tamar milik dua orang anak yatim iaitu Suhail dan Sahl. Rasulullah SAW telah membeli tanah itu daripada mereka dan membangunkan masjid bersama-sama dengan Kaum Ansar dan Muhajirin. Sabda Rasulullah SAW: Pahala solat di masjidku ini adalah 1000 kali lebih baik daripada solat di lain-lain masjid kecuali di Masjidil Haram,( Bukhari dan Muslim)

 3. Tanah Haram- Seperti Makkah, Madinah juga merupakan tanah haram. Ianya menjadikan setiap umat Islam sentiasa berwaspada dan memelihara diri daripada melakukan perkara yang dimurkai Allah SWT ketika berada di sana. Rasulullah SAW pernah bersabda: Madinah adalah tanah haram, letakknya antara Bukit Eir dan Bukit Tsur,sesiapa yang melakukan kezaliman (maksiat) atau melindungi orang yang melakukan kezaliman di dalamnya maka ke atasnya laknat Allah SWT,malaikat dan manusia seluruhnya dan semua amalan sama ada yang wajib atau sunat tidak diterima oleh Allah SWT daripadanya pada hari kiamat kelak. ( Bukhari dan Muslim)

 4.Keutamaan Meninggal Dunia di Madinah- iaitu bagi sesiapa yang boleh menetap di Madinah hingga sampai ajalnya. Oleh kerana ini jugalah maka Khalifah Umar r.a pernah berdoa kepada Allah SWT: Ya Allah, kurniakanlah aku syahid di jalan-Mu dan jadikanlah matiku di negeri Rasul Mu.

 5.Terpelihara Daripada Dajjal- Madinah merupakan kota yang dijanjikan Rasulullah tidak akan di masuki oleh Dajjal. Anas ibn Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Tidak ada suatu negeri pun kecuali Dajjal akan memasukinya kecuali Makkah dan Madinah ,di keduanya tidak terdapat satu tempat pun kecuali para malaikat akan berbaris menjaganya. .Kemudian Madinah akan menggoncangkan penduduknya sebanyak tiga kali,lalu Allah SWT mengeluarkan setiap orang kafir dan munafik.(Riwayat Bukhari)

 Demikianlah antara kelebihan atau keistimewaan Madinah. Maka tidak hairanlah jika sekali bumi Madinah dipijak, akan terasa kerinduan untuk mengunjunginya lagi. Ini kerana suasana di Madinah cukup aman dan damai serta penuh dengan ketenangan. Semoga dengan mengunjungi Madinah akan dapat menambahkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.
...LAGI MAU LIHAT>>>KLIK JE KAT SINI..APA SUSAH

PULAU ADANG 1

 
Kembali ke Atas