Hadith:
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda “Hendaklah kamu saling meminta nasihat tentang perkara-perkara kebaikan kepada kaum wanita kerana sesungguhnya kaum wanita dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk ialah yang paling atas. Jika kamu membetulkan dengan kekerasan nescaya ia akan patah, jika ditinggalkan (dibiarkan tanpa nasihat) nescaya kekal ia dalam keadaan bengkok maka saling menasihatilah dengan penuh kesabaran dan berlemah lembut”.
Huraian Hadith:
1. Para suami hendaklah bersikap bijaksana dalam membentuk kehidupan isteri-isteri mereka. Jika berlaku sebaliknya akan mengakibatkan kepincangan rumahtangga yang mungkin berakhir dengan perceraian.
2. Adalah menjadi kewajipan setiap suami untuk memberi didikan dan tunjuk ajar secukupnya dengan penuh kesabaran kepada isteri mereka agar tidak terumbang-ambing dalam hidup.
3. Berulang-ulangnya pesanan Rasulullah SAW mengenai wanita menunjukkan ia sangat-sangat penting kerana mereka adalah golongan yang lemah dan perlu kepada orang yang melindungi mereka dan menguruskan hal mereka serta mengawal pergerakan mereka ini kerana kebebasan tanpa sempadan yang diberikan kepada anak-anak gadis menyebabkan berlakunya kepincangan besar dalam masyarakat yang mengundang kemurkaan Allah SWT.
4. Hadis ini memberi tunjuk ajar dan panduan kepada lelaki supaya bertolak ansur dan bersabar dalam berinteraksi dengan kaum wanita. Suami mestilah bersabar terhadap sikap isteri yang kurang memuaskan kerana lelaki lebih mampu sabar.
Kedudukan Yang Istimewa Orang Yang Lemah Dan Tidak Bernasib Baik
Hadith:
Daripada Abu ad-Darda’ ‘Uwaimir RA katanya, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Carilah untukku orang-orang yang lemah, maka sesungguhnya kamu diberi pertolongan dan rezeki dengan (adanya) orang-orang yang lemah (dikalangan kamu)”.
Huraian Hadith:
1. Islam memberi kedudukan yang istimewa kepada orang-orang yang lemah dan tidak bernasib baik dalam masyarakat dengan menjadikan mereka sebagai sumber mendapatkan kemenangan dan rezeki daripada Allah SWT.
2. Tanpa wujudnya golongan yang lemah dalam masyarakat maka tidak akan wujud golongan yang berkedudukan, orang kaya dan mereka yang berpangkat didalam masyarakat.
3. Orang yang kuat itu istimewa dengan keberaniannya dan orang yang lemah itu istimewa kerana ikhlasnya dan tawadhu’nya yang menyebabkan turunnya pertolongan Allah.
Ingatlah Golongan Yang Lemah
Hadith:
Daripada Mus’ab bin Abu Waqas R.huma katanya, “Saad merasakan dirinya mempunyai kelebihan daripada orang lain”. Maka Nabi SAW bersabda, “Kamu tidak ditolong dan diberi rezeki melainkan dengan (sebab) adanya orang yang lemah (dikalangan kamu)”.
Huraian Hadith:
1. Orang Islam yang merasakan dirinya mempunyai kelebihan hendaklah merendahkan dirinya kerana kelebihan itu sendiri wujud dengan adanya golongan yang lemah dan tidak bernasib baik.
2. Pertolongan dan rezeki Allah kepada sesuatu golongan manusia atau masyarakat adalah disebabkan adanya golongan lemah dalam kelompok atau sesuatu masyarakat.
No comments:
Post a Comment